Malaysiana net Advert

PRODUK HALAL MALAYSIA TUMPUAN MASYARAKAT CHINA

Sumber:                                                                                               http://www.astroawani.com/berita-malaysia/produk-halal-malaysia-tumpuan-masyarakat-china-122987

81459352108_halal

BEIJING: Tudung halal? Mungkin sesetengah orang di Malaysia akan tergelak atau menganggapnya sebagai lucu jika ada yang bertanya mengenainya.

Bagi kita di Malaysia, kain tudung, sudah tentunya halal dan tidak memerlukan sijil pengesahan halal. Sama ada halal atau tidak mungkin akan hanya dipersoalkan bagi makanan atau minuman terutama yang diimport.
Tetapi itulah pertanyaan dan permintaan daripada pembeli di China, kata Winston Chia Sze Wei yang menganjurkan Pusat Barangan Antarabangsa Malaysia (International Malaysia Product Centre) (IMPC) di Bazar Erdaoqio Urumqi City, di Wilayah Xinjiang.

Chia berkata, ketika mula-mula membuat kajian tentang penerimaan produk Malaysia di Urumqi, didapati penduduk kawasan itu amat memandang tinggi keluaran produk halal dari Malaysia.

"Penduduk di China seperti di Urumqi amat yakin dengan produk yang mempunyai tanda halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sanggup untuk membayar lebih, bagi mendapatkannya," katanya yang telah menetap di China selama 22 tahun dan berkecimpung dalam perniagaan barangan halal di negara ini.
AGRO MAKANAN HALAL

"Hinggakan mereka bertanya kepada saya adakah saya akan membawa masuk dan menjual tudung halal dari Malaysia," katanya ketika bertemu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berada di Beijing baru-baru ini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China.

Urumqi, ibu negeri wilayah autonomi Xinjiang Uyghur yang terletak di barat Laut China, mempunyai penduduk lebih sembilan juta orang dengan hampir 50 peratus daripada mereka beragama Islam.

Sementara itu, Raja Durian China, Loh Wee Keng berkata, produk Malaysia memang mempunyai pasarannya tersendiri di China, dan permintaan terhadap makanan halal pertanian di China amat tinggi.

Malaysia perlu menerokai pasaran itu dengan mengadakan perbincangan dengan kerajaan China bagi membolehkan lebih banyak produk agro makanan halal negara masuk ke sini, katanya.

Loh, yang membawa masuk durian sejuk beku produk pertama ke China pada tahun 2010, telah terlibat lebih 10 tahun dalam industri agro makanan halal di sini dan kini mengendalikan Pavillion Halal Malaysia (Malaysia Halal Pavilion) di Pasaraya Komoditi Antarabangsa (International Comodity Market), di Bandar Yiwu, Wilayah Zhejiang.
SARANG BURUNG WALIT MENTAH

Kedua-dua pengusaha produk halal ini adalah antara pengusaha Malaysia yang menjalankan perniagaan mereka di China yang telah sempat mengadakan pertemuan bersama Ahmad Shabery.

Pada lawatan rasmi Najib ke China, Ahmad Shabery telah menandatangani dua perjanjian iaitu Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan Malaysia dan China mengenai kerjasama dalam bidang pertanian dan Protokol Keperluan Pemeriksaan, Kurantin dan kebersihan veterinar untuk pengeksportan sarang burung walit mentah belum bersih.

Melalui pemeteraian MoU ini, Malaysia dan China akan dapat meneroka dan mencari kerjasama baru khususnya dalam pengeksportan produk pertanian Malaysia ke China.

Kerjasama ini dijangka dapat meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara dan mempertingkatkan lagi jumlah dagangan.

Pada masa ini antara produk pertanian yang dibenar dieksport ke China ialah manggis, tembikai, rambutan, kelapa, betik, durian sejuk beku serta sarang burung walit mentah bersih.
TEROKAI PASARAN CHINA YANG BESAR

Kini dengan protokol yang baru ditandatangani, Malaysia dalam masa terdekat boleh mengeskport sarang burung walit mentah yang belum diproses.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, pihaknya masih menjalankan perbincangan berterusan dengan China bagi membolehkan beberapa lagi produk pertanian Malaysia dieksport ke sana memandangkan Malaysia mempunyai beberapa produk yang mempunyai permintaan besar di China.

Antara produk yang dalam perbincangan ialah nanas, nangka dan buah durian, ikan hiasan serta kaki dan bahagian dalaman ayam.

Shabery berharap pengusaha produk makanan halal Malaysia bersedia untuk menerokai pasaran China yang besar.

Sementara itu, Pegawai Atase Pertanian Malaysia ke China Aszmy Mahmood Yusof Mohamad berkata dengan penduduk seramai 1.3 billion orang, produk pertanian dan makanan Malaysia terutama produk halal, mampu menembusi dan bersaing di pasaran negara ini.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa pengguna China adalah pengguna yang matang, dan untuk itu produk yang ingin dieksport ke negara ini perlulah berkualiti, selamat serta kompetitif dari segi harga. -- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.