Malaysiana net Advert

RAKYAT JEPUN SAMBUT BAIK BUKU KESEDERHANAAN ISLAM

Sumber: 
http://www.bharian.com.my/node/203883

Oleh: Nazmi Yaakub

14808006_10154012341636732_556667300_o.transformed.jpg
Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris (dua dari kanan) menunjukkan tiga buku terbitan Malaysia dalam bahasa Jepun pada Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (PBAT) 2016 bersama-sama Pengarah Eksekutif Japan-Malaysia Association (JMA), Takakazu Ogawa (kiri sekali); Pengerusi & Presiden Kinokuniya Company Ltd, Masashi Takai (dua dari kiri) dan Pengarah Penerbit Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ram Al Jaffri Saad (kanan sekali).





KUALA LUMPUR: Rakyat Jepun menyambut baik pendekatan kesederhanaan Islam yang giat dipromosikan oleh Malaysia berdasarkan sambutan baik terhadap buku bertema Islam terbitan negara ini pada Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (PBAT) yang berlangsung pada bulan lalu.
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), dalam satu kenyataan, menyatakan sambutan baik semasa penyertaan penerbit Malaysia dalam PBAT itu secara tidak langsung mendekatkan rakyat Jepun untuk menerima nilai Islam seperti terkandung dalam buku terbitan Malaysia.

"Lebih membanggakan, penyertaan tujuh penerbit mendapat sambutan baik daripada pembaca dan pengedar buku di Jepun dengan antara yang berjaya menarik perhatian ialah Penerbit Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) yang mempamerkan buku kewangan Islam serta pemikiran sarjana Islam Malaysia.

"Hasilnya, IBFIM memperoleh perhatian daripada Kinokuniya, iaitu kedai buku terbesar di Jepun untuk membantu mengedarkan buku terbitannya ke beberapa universiti, kolej dan perpustakaan di negara itu," menurut kenyataan itu.

Menurut ITBM, Seminar Kewangan Islam yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) turut diadakan, sekali gus mengetengahkan konsep asas muamalat dan perbandingan dengan nilai yang diamalkan dalam sistem kewangan Jepun.

"Melalui seminar itu, didapati banyak cara hidup rakyat Jepun dan urus niaga yang diamalkan dalam kehidupan seharian ialah nilai yang digariskan oleh Islam. Menurut panel seminar dari JMA, banyak lagi nilai Islam yang semakin terbuka penerimaannya dalam kalangan rakyat Jepun seperti konsep halal.

"Perkembangan ini menjadi persediaan seluruh rakyat Jepun yang akan menganjurkan Sukan Olimpik pada 2020. Sehubungan itu, dua buku terbitan Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM), iaitu Pengurusan Produk Halal di Malaysia dan Halal Foods in The Global Retail Industry antara yang meraih perhatian di reruai Malaysia di PBAT 2016," kata kenyataan itu.

PBAT 2016 turut menyaksikan pelancaran tiga buku Malaysia dalam bahasa Jepun, iaitu Islamic Finance Fundamentals With Applications in Malaysia, The Basics of Islamic Finance With Applications in Malaysia dan Hang Tuah: Catatan Okinawa.

"Pelancaran buku itu yang disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia Ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris," menurut kenyataan itu.

Penerbit Ana Muslim yang mempromosikan watak Ana Solehah yang diilustrasi lengkap berpakaian kimono dan bertudung juga menjadi strategi penyesuaian watak karakter Ana Solehah dengan budaya setempat Jepun, sekali gus menarik perhatian pembaca dan pengedar buku di negara berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan Ana Muslim, Othman Mohamed, Jepun yang terkenal dengan manga ialah pasaran berpotensi yang sangat besar selepas berjaya menembusi pasaran di Indonesia.

PBAT 2016 menyaksikan penyertaan penerbit Malaysia kali keenam yang turut menampilkan buku daripada Penerbit UUM, Penerbit UPM, Perbadanan Kota Buku (PKB), FIXI, Ana Muslim dan Penerbit IBFIM, manakala Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selaku agensi yang mengetuai delegasi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/203883

No comments

Powered by Blogger.