Malaysiana net Advert

Inisiatif MARA Wujud Ekosistem Perusahaan Halal

Sumber:
http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/inisiatif-mara-wujud-ekosistem-perusahaan-halal-1.434377

Kredit Foto: Utusan


KUALA LUMPUR 21 Jan. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil inisiatif mewujudkan ekosistem halal bagi mendukung hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan integriti halal berikutan perkembangan positif industri itu menjanjikan nilai eksport hampir RM40 bilion setahun.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, ia berikutan permintaan yang semakin meningkat di pasaran domestik dan antarabangsa saban tahun, sekali gus dapat meningkatkan aktiviti pengeluaran dan daga­ngan makanan halal.

“MARA turut terlibat dalam program pembangunan industri halal yang mana seramai 150 usahawan makanan telah dibangunkan dan ditempatkan di Halal Park Mara di seluruh negara,” katanya.

“Melalui kemudahan disediakan, seramai 150 usahawan ter­babit merekodkan jumlah jualan tahunan yang mencecah kepada RM60 juta setahun, selain membuka peluang lebih 5,000 pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Menyentuh kepada Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR), Ibrahim berkata, kompleks tersebut merupakan sebuah kilang yang berkeluasan hampir tiga ekar yang menyediakan lot pengeluaran makanan dan minuman kepada 19 usahawan berorientasikan eksport.

“Mara menjalankan fungsi menawarkan pelbagai kemudahan dalam usaha membentuk dan membangunkan usahawan Bumiputera dengan bantuan sebanyak RM46 juta disalurkan kepada usahawan KIMAR meliputi pembiayaan mesin, peralatan serta modal pusingan,” jelasnya.

Beliau berkata, MARA membantu usahawan di KIMAR mendapatkan persijilan yang ditetapkan bagi memenuhi kriteria status halal di samping menyediakan Program Pembangunan Standard Perniagaan demi meningkatkan prestasi serta produktiviti mereka.

“Kita turut mengadakan kerjasama strategik dengan Bahagian Kua­liti dan Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawal dan memastikan kualiti, kebersihan makanan serta kilang agar produk-produk usahawan MARA menepati standard piawaian kua­liti untuk dieksport ke luar negara mahu pun edaran dalam negara,” jelas­nya lagi.

Katanya, selain daripada mewujudkan KFO dan Online e-Marketplace, MARA turut me­rangka pelbagai program pemasaran dalam membantu usahawan membawa produk ke peringkat global melalui aktiviti-aktiviti perdagangan dan ekspo, termasuk kolaborasi bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Tambahnya, pendekatan secara bersepadu mampu mening­katkan pendapatan usahawan berkenaan dengan meluaskan pasaran hingga ke peringkat glo­bal, malah meningkatkan peluang pekerjaan dalam industri halal kepada masyarakat tempatan.

No comments

Powered by Blogger.