Malaysiana net Advert

HDC jangka pertumbuhan eksport halal 5-6 peratus

Sumber:

http://www.bharian.com.my/node/298221

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin. - Foto Eizairi Shamsudin


KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menjangka eksport produk halal berkembang antara lima peratus dan enam peratus tahun ini daripada RM42 bilion yang dicatatkan tahun lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin, berkata ini akan disokong oleh permintaan tinggi terhadap produk halal tempatan, terutama pada separuh kedua tahun ini, disebabkan peningkatan ekonomi global. 

"Dari segi trend eksport pada enam bulan pertama tahun ini kebiasaannya akan sedikit perlahan tetapi akan meningkat pada akhir tahun, dan saya yakin kita mampu capai sasaran tersebut," katanya. 

Eksport produk halal Malaysia berjumlah RM39 bilion pada 2015. 

Jamil berkata, beliau melihat pembangunan industri halal negara berkembang bukan hanya dari segi angka eksport atau bilangan pelaburan, tetapi juga menerusi penggunaan pakai industri 4.0 atau automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan. 

Dalam hal ini, katanya, HDC akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menghasilkan inovasi baharu yang akan memberi manfaat kepada industri. 

"Kita melihat banyak potensi, terutama dalam segmen ramuan halal yang masih lagi berada di tahap awal...dan kita juga melihat keperluan untuk meningkatkan bilangan pakar dalam segmen ini," katanya. 

Jamil memberi contoh satu pembangunan dalam segmen farmaseutikal, yang mana sebuah syarikat Arab Saudi telah bersetuju untuk melabur sebanyak RM500 juta membangunkan kemudahan vaksin di Bandar Enstek di Negeri Sembilan. 

"Syarikat itu ketika ini sedang mengusahakan tiga vaksin dan pada masa yang sama, ia juga mengambil alih kemudahan vaksin di Denmark yang menghasilkan vaksin poliovirus. 

Syarikat itu merancang menjadikannya vaksin halal dan memasarkannya di sini," katanya. 

Sejak penubuhannya pada 2006, HDC menjadi tumpuan utama untuk menyelaraskan dan memudahkan keseluruhan pembangunan dan penggalakan industri halal di Malaysia. 

Ia dilaksanakan secara kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk mentransformasikan dengan lebih meluas landskap halal. - BERNAMA



No comments

Powered by Blogger.